
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan geran hak milik kepada peserta FELCRA ROMPIN A pad a majlis di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol.
159 peserta FELCRA Rompin A di sini gembira apabila menerima geran hak milik yang dinantikan sejak 24 tahun lalu.
Kesemua peserta menyertai FELCRA Rompin A pada 1982 sebelum diberi tanah seluas 2.4 hektar untuk diusahakan dengan tanaman getah.
Sama seperti agensi lain seperti FELDA, kegigihan peserta mengusaha tanah ladang membolehkan mereka menyelesaikan pelbagai hutang kepada badan berkanun terbabit .
Majlis penyerahan hak milik diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Jempol disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Bagaimanapun hanya seramai 50 peserta dipilih menerima sendiri geran daripada Menteri Besar termasuk 20 penerima yang menerimanya secara pandu lalu. Bakinya akan diserahkan oleh Pejabat Tanah Jempol termasuk kepada waris selepas pelbagai urusan berkaitan diselesaikan.
Aminuddin berkata kerajaan negeri menghargai kesabaran peserta mengusahakan tanah mereka dan mengucapkan tahniah kerana berjaya menerima hak milik yang dinantikan selama ini.
Katanya kerajaan negeri maklum, pelbagai onak duri telah dihadapi sejak tahun 1980 yang menjadi titik tolak kepada kewujudan FELCRA Rompin A sehingga hari ini.
” Dengan menerima hak milik bermaksud satu impian tuan -tuan dan puan -puan sudah tercapai dan akan menjadi warisan yang akan menjadi kenangan untuk anak dan cucu,” katanya.
Namun tegasnya, pemilik tanah diingatkan supaya tidak melupakan tanggungjawab dengan melunaskan cukai tanah pada setiap tahun.
Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baharu Negeri Sembilan, Teo Kok Seong dan Pegawai Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin.




