
” Tahun lepas tiada sambutan Deepavali diadakan disebabkan saya menjalani rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar ( HTJ ) Seremban dan ketika itu anak – anak juga tidak dapat pulang ke Jelebu.
” Tahun ini tiga dari lima anak dan enam cucu akan pulang meraikan bersama perayaan ini dan ia sudah tentu mengembirakan saya kerana sudah lama tidak bertemu mereka,” kata N Ramasamy, 80 dari Kuala Klawang.
Ramasamy berkata perkhabaran itu sangat mengembirakannya apatah lagi, detik itu sudah lama dinantikan.
Katanya persiapan menyambut Deepavali juga dibuat sederhana memandangkan negara masih lagi berdepan Covid-19.
” Saya juga sudah pesan pada anak, jika sudah lengkap vaksin boleh balik dan jika sebaliknya tangguhkan dahulu kerana tidak mahu berlaku perkara yang boleh menjejaskan masyarakat sekitar,”katanya.
Ramasamy berkata dua lagi anaknya tidak dapat pulang kerana pulang ke rumah mentua masing – masing.
Ramasamy ditemui pada program Sentuhan Kasih Bersama Warga India Sempena Sambutan Deepavali yang diadakan perkarangan Pusat Khidmat DUN Klawang.
Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Klawang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir turut menyerahkan sumbangan barang makanan kepada 100 penerima.
Hadir sama ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran dan Penyelaras DUN Pertang, Zainal Fikri Abd Kadir.
