
Selamat melaksanakan ibadah Korban buat semua umat Islam di Negeri Sembilan.
Kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 2020 yang lalu telah memperkenalkan perkhidmatan dalam talian yang diberi nama e-Qurbans (e-qurb@NS).
Perkhidmatan ini bertujuan untuk memusatkan data permohonan pelaksanaan ibadah korban di negeri ini.
Selain itu, sistem ini memudahkan pemohon atau penganjur untuk memohon kelulusan lokasi korban bagi memenuhi SOP Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebelum mengeluarkan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) dan Permit Sembelihan Luar (PSL).
Sistem ini dibangunkan secara kerjasama dengan beberapa agensi yang berkaitan antaranya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).
Pada tahun ini, sebanyak 553 permohonan melibatkan 2,435 haiwan korban telah diterima dalam sistem. Daerah Seremban mencatat permohonan tertinggi dengan jumlah 146 pemohon.
Mengikut data yang direkodkan, semua penyembelihan pada tahun ini juga akan dilakukan oleh penyembelih bertauliah.
Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan selamat melaksanakan ibadah korban. Semoga Allah SWT menerima pengorbanan yang dilaksanakan, Insya-Allah.
Menteri Besar Negeri Sembilan
Dato’ Seri Aminuddin Harun