
Bakri Sawir Foto kredit: Harian Metro
JELEBU : Jalan baharu yang menghubungkan Kampung Gagu, Jelebu ke Ulu Beranang, Hulu Langat, akan mula dibina sebaik semua kajian lapangan termasuk kajian alam sekitar diselesaikan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata jalan sepanjang 14 kilometer itu bakal merancakkan lagi sektor ekonomi kedua – dua daerah berkenaan.
Katanya kos pembinaan jalan berkenaan berjumlah RM180 juta dan apabila siap pada 2025 akan memendekkan jarak dan masa perjalanan dari Kuala Klawang ke Beranang dan sebaliknya.
” Kita menyambut baik pembinaan jalan baharu itu yang sebelum ini pernah dicadangkan pembinaan namun tertangguh atas pelbagai faktor.
” Ketika ini kita menunggu laporan kajian alam sekitar daripada pihak berkaitan berikutan jalan baharu itu melalui kawasan hutan simpan selain kawasan rayau penduduk Orang Asli,” katanya.
Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Klawang berkata disebabkan melalui hutan simpan, beberapa jejantas bagi kegunaan haiwan liar akan turut dibina disepanjang lalu berkenaan.
Katanya projek pembinaan berkenaan bakal melengkapkan lagi jajaran jalan Lingkaran Luar Negeri Sembilan (outerringroad).
Justeru Bakri berkata projek itu juga mampu memberi impak dari segi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk
selain membantu merancakkan lagi aktiviti pelancongan berkonsepkan eko – pelancongan di kawasan berhampiran.
“Pembinaan jalan baharu itu akan memberi manfaat kepada penduduk luar bandar didua kawasan terbabit berikutan mempunyai perhubungan jalan raya yang lebih baik.
Difahamkan projek terbabit akan melalui dua kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu HSK Gapau dan HSK Lenggeng dan jajaran projek itu akan melalui beberapa kawasan tanah berbukit dan bergunung-ganang serta cerun yang tinggi selain ladang pertanian, perkampungan Orang Asli dan sungai.