
Mendaki Gunung Tahan, biarpun bukanlah gunung tertinggi di negara ini, ia tetap mempunyai cabaran yang tersendiri.
Seperti namanya, cabaran untuk mendakinya boleh tahan malah pendaki perlu memiliki fizikal yang kuat dan anda memerlukan masa berhari-hari untuk sampai ke puncak gunung yang mempunyai ketinggian 2,187 meter itu.
Malah, anda perlu melepasi cabaran merentasi hutan, meredah sungai, naik turun bukit dan bermalam di hutan.
Berikutan itu banyak persiapan perlu dibereskan secukupnya sebelum pendakian dimulakan.
Keadaan dan struktur permukaan trek yang berbeza-beza, ada jalan yang landai, pendakian curam, perlu meredah sungai, laluan yang berlumpur selain berbatu batu yang perlu ditempuhi pendaki.
Bagaimanapun kesemua halangan dan cabaran itu berjaya ditempuhi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Klawang, Datuk Ir Bakri Sawir yang berjaya menamatkan cabaran mendaki Gunung Tahan menerusi program Tahan Merdeka Hike.
Program dianjurkan Pejabat Pusat Khidmat DUN Klawang itu turut disertai sembilan pendaki lain bermula pada 25 Ogos lalu.
Sebelum itu, kesemua peserta diraikan dalam program pelepasan yang disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun di Wisma Negeri pada 24 Ogos.
Tujuan program bertujuan memupuk semangat kerjasama dalam kumpulan seterusnya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sembilan dipuncak Gunung Tahan.