
SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan rundingan pembahagian kerusi gabungan parti itu di negeri ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah selesai.
Beliau berkata, ia membabitkan pembahagian kerusi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Dah selesai di peringkat Parlimen. Di peringkat DUN pun saya rasa dah 99 peratus selesai, kita dah bahagi-bahagi, begitu juga di Melaka.
“Soal pembahagian kerusi di sebahagian negeri-negeri lain juga sudah selesai bagaimanapun terdapat satu dua negeri yang masih dalam perbincangan,” katanya
Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata, soal calon pula ditentukan oleh parti masing-masing dalam PH.
“Kalau Sikamat (DUN Sikamat) ada orang nak bertanding, hantar nama tetapi pemilihan akan diputuskan di peringkat pusat dan nama tu dah mula hantar sekarang,” katanya.
Sementara itu portal negerikita melaporkan, Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bertanding di tiga kerusi parlimen iaitu Jelebu, Jempol dan Tampin.
“Parti KeADILan Rakyat (PKR) akan bertanding di Kuala Pilah, Rembau dan Port Dickson.
‘DAP pula akan bertanding di Seremban dan Rasah,” kata Aminuddin.
Pada PRU-14, kerusi Kuala Pilah dan Jempol ditandingi oleh Bersatu yang telah meninggalkan Pakatan Harapan pada tahun 2020 selepas Langkah Sheraton.
Sumber-sinarharian dan negerikita