
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) menawarkan 10 tawaran yang menjadi keutamaan sebaik memperoleh mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Tawaran dikenali sebagai Tawaran Harapan itu dilancarkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang antara lain berkaitan usaha menangani pelbagai keperluan semasa rakyat yang mendesak berkaitan aspek kos sara hidup dan harga barang, peluang pekerjaan, ekonomi, pendidikan serta kesihatan.
Beliau berkata, 10 tawaran itu bagi memulihkan Malaysia dan membina ekonomi masa depan.
“PH bertekad membina semula Malaysia daripada kemusnahan Barisan-Perikatan Nasional selama lebih 30 bulan lalu yang dibelenggu kepincangan dasar dan ketirisan pentadbiran serta ketandusan idea untuk menangani masalah jangka panjang seperti kesenjangan masyarakat, perubahan iklim dan pemulihan generasi tercicir dalam pendidikan,” katanya berucap ketika melancarkan 10 tawaran itu di Klang.
Antara 10 Keutamaan Tawaran Harapan adalah menangani isu kos sara hidup; memerangi rasuah dan mengukuhkan institusi demokrasi perkasa peluang ekonomi belia dengan menerokai sektor manusiawi; menyelamatkan generasi tercicir (Lost Generation) dalam pendidikan dan membina ketahanan bencana serta memantapkan perlindungan.
Seterusnya, tawaran itu membabitkan usaha menangani isi doktor kontrak dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan; penghapusan isu ketaksamaan gender dan memperkasakan sosioekonomi wanita; memperkasa wilayah Sabah dan Sarawak; meningkatkan daya saing setiap rakyat Malaysia dan memelihara khazanah alam demi generasi akan datang.
Sumber-Bharian.