
Jentera pilihan raya PH Dun Kuala Sentul. Foto Dodi Al Karem
Jengka : Jentera pilihan raya Pakatan Harapan ( PH ) Dun Kuala Sentul akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sehingga tamat kempen tengah malam Sabtu ini.
Berikutan itu, selepas bertungkus lumus sepanjang 13 hari kempen sejak 5 November lalu, satu majlis makan malam bersama disusuli sesi pengenalan calon PH N25 Dun Kuala Sentul dan P086 Parlimen Maran, diadakan di Bilik Gerakan Utama ( BGU ) Felda Jengka 1.
Calon Dun Kuala Sentul Amran Tahir yang juga anak peneroka Felda Jengka 1 dan calon Parlimen Maran Ahmad Shuhor Awang turut hadir pada majlis menghargai jentera pilihan raya itu.
Amran berkata dia yakin dengan sokongan penduduk setempat di Dun Kuala Sentul yang mahu perubahan dalam pentadbiran kerajaan disusuli pula sokongan pengundi muda, Dun Kuala Sentul akan menjadi milik PH kali ini.
Bagi Ahmad Shuhor, aura kemenangan semakin terserlah untuk PH mendominasi Parlimen Maran susulan sokongan orang ramai setiap kali dia turut berkempen menemui pengundi.
Justeru, dia dan Amran mahu orang ramai keluar mengundi dan seterusnya memilih calon daripada PH bagi memastikan kemenangan mutlak menjadi milik mereka.
Selain Ahmad Shuhor ,kerusi Parlimen Maran turut menyaksikan pertembungan antara penyandang, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.
Turut bertanding calon Bebas, Muhamad Hafiz Ishak.