
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2023 pada Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima di, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan di Wisma Negeri. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) satu bulan setengah gaji atau minimum RM2,500 kepada 5,599 orang penjawat awam di negeri itu.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata bantuan itu sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam negeri itu, yang sentiasa komited dalam melaksanakan tugas diamanahkan.
Katanya, bonus berkenaan akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada awal Januari dan minggu pertama April 2023.
“Diharapkan bantuan khas kewangan ini dapat menyuntik semangat semua penjawat awam untuk bekerja dengan lebih gigih lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Keempat (Belanjawan) Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Ke-14, di sini, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek, merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas beberapa insentif khas untuk penjawat awam negeri seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2023, hari ini.
“Saya mewakili seluruh penjawat awam pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas beberapa insentif khas ini.
“Selain itu, untuk tahun ketiga, kemudahan pinjaman pembelian komputer dan kenderaan tanpa faedah bagi penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri yang layak turut diteruskan.
“Ini adalah pengiktirafan dan penghargaan kerajaan negeri kepada penjawat awam negeri, yang sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dan kecemerlangan perkhidmatan dalam memajukan negeri ini.
“Saya menyeru supaya semua penjawat awam bersama-sama berganding bahu memberikan perkhidmatan terbaik bagi mengembalikan semula kegemilangan negeri demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Terdahulu, Aminuddin membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2023 bertemakan Melunas Janji, Menggalas Harapan.
Beliau berkata, belanja mengurus pada tahun hadapan adalah sebanyak RM550 juta berbanding anggaran hasil sebanyak RM450 juta, manakala peruntukan bagi perbelanjaan pembangunan pula sebanyak RM130 juta.
Katanya, anggaran belanja mengurus RM550 juta itu merangkumi Emolumen sebanyak RM207.90 juta atau 37.80 peratus, perkhidmatan dan bekalan sebanyak RM111.78 juta (20.32 peratus), pemberian dan kenaan bayaran tetap RM224.33 juta (40.79 peratus), perolehan aset sebanyak RM0.94 juta (0.17 peratus) serta perbelanjaan lain RM5.05 juta (0.92 peratus).
Aminuddin berkata, Belanjawan Negeri Sembilan 2023 memberi fokus kepada sembilan bidang iaitu Jaminan Bekalan Makanan, Ekonomi Rakyat, Pendidikan, Kebajikan, Pemerkasaan Komuniti, Belia dan Wanita, Kerohanian dan Agama, Adat dan Pelancongan dan Pentadbiran.
“Pelbagai bantuan kewangan, pemberian tunai, insentif bukan kewangan dan bantuan sokongan direncanakan oleh kerajaan negeri untuk dimanfaatkan oleh rakyat.
“Sebanyak 64 inisiatif membabitkan peruntukan RM107 juta akan dilaksanakan dalam belanjawan untuk negeri ini.
“Sebanyak 42 inisiatif sedia ada akan dikekalkan atau ditambah baik dan 22 inisiatif baharu akan diperkenalkan,” katanya
Sumber-BH