
Ekonomi Negeri Sembilan terus dipacu oleh sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang tertinggi KDNK negeri tahun 2021 sebanyak 50.9 peratus, diikuti pula sektor pembuatan sebanyak 37.7 peratus dan sektor pertanian sebanyak 6.9 peratus.
Perkembangan ekonomi ini sangat bergantung kepada pelaburan yang dibawa oleh sektor swasta sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Jika sektor pelaburan semakin rancak, maka rantaian ekonomi akan lebih berkembang pesat sekaligus memanfaatkan semua pihak.
Justeru Kerajaan Negeri Sembilan julung kalinya mengadakan Majlis Penghargaan Pelaburan bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan dan sebagai tanda penghargaan kepada para pelabur di atas minat dan keyakinan mereka untuk terus melabur di negeri ini.
Hampir 200 orang terdiri daripada para wakil Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri serta 33 syarikat pelabur asing dan tempatan terpilih hadir ke majlis tersebut.
Besarlah harapan saya agar program ini dapat mengeratkan hubungan dua hala di antara Kerajaan Negeri dengan para pelabur.
Untuk makluman, prestasi pelaburan di Negeri Sembilan adalah amat membanggakan dalam tempoh 5 tahun pentadbiran ini.
Rekod prestasi pelaburan Negeri Sembilan adalah seperti berikut :
•Tahun 2018 – RM2.86 bilion
•Tahun 2019 – RM6.78 bilion
•Tahun 2020 – RM7.93 bilion
•Tahun 2021 – RM5.76 bilion
•Tahun 2022 sehingga suku tahun ketiga Januari hingga September pula adalah sebanyak – RM8.72 bilion
Facebook YAB Menteri Besar Negeri Sembilan