
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ( tengah ).
Antara intipati penting seusai Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini:
1. Tol percuma pada 20-21 Januari 2023 untuk sambutan perayaan Tahun Baru Cina. Ini kerana bukan sahaja kaum Cina, tetapi kaum Melayu, India dan yang lain akan ikut serta bercuti dan meraikan semangat perpaduan. Ia melibatkan semua kelas kenderaan dan implikasi kewangan kerajaan adalah sekitar RM40 juta. Saya ingatkan semua untuk berhati-hati di jalan raya dan kurangkan risiko kemalangan secara bersama.
2. Perbincangan turut diadakan dengan Ketua Audit Negara melibatkan laporan untuk tahun 2021 bagi meneliti semula teguran-teguran yang dibuat melibatkan perbelanjaan, ketirisan, syarat serta peraturan. Saya turut menggesa agar Jemaah Menteri mesti ambil teguran-teguran ini secara serius bagi menghentikan kesilapan dan ketelanjuran di masa lalu, dan ia sama sekali tidak boleh diteruskan.
3. Jemaah Menteri turut dikemukakan cadangan untuk penambahan jawatan Hakim bagi negeri Sabah dan Sarawak. Ini kerana meningkatnya kes-kes di Sabah dan Sarawak. Selain itu, bangunan-bangunan Mahkamah di Sabah dan Sarawak yang dhaif akan turut dibaiki.
4. Kami turut memutuskan mengenai pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak untuk menganggotai SUHAKAM. Ia adalah cabang khas yang ‘autonomous’ di bawah SUHAKAM bagi meneliti dan mendepani banyak masalah melibatkan penderaan, dan masalah-masalah sosial yang lain yang melibatkan kanak-kanak. TPM YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi akan mempengerusikan jawatankuasa ini. Nama-nama anggota akan diumumkan kelak.
Facebook Anwar Ibrahim