
Foto: Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Konsep Madani yang dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi pentadbiran negara secara berkesan, menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika atau akhlak.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata istilah Madani yang sememangnya sudah sekian lama diperkenal dan diungkap oleh pemikir sejak dahulu lagi, diperkenalkan dalam pentadbiran negara berikutan ia memberi keutamaan kepada soal keyakinan dan kemanusiaan.
Beliau berkata, tatkala negara dipacu untuk maju dan kadang kala tercemar kerana salah laku serta rasuah, selain keruntuhan nilai, perlu ada kesedaran bersama dalam kalangan semua pihak untuk menghidupkan semula kekuatan leluhur bangsa daripada semua kaum dan agama di negara ini, dengan nilai murni yang harus dikembangkan semula.
“Sementara kita bergelut dalam bidang ekonomi, teknologi dan digital, kita pacu pertumbuhan kita, jangan tinggalkan nilai dan kemanusiaan.
“Ia kerana meninggalkannya bermakna kita akan menerima fahaman dan mula mengalah serta membiarkan (permissive) tanpa mengira latar belakang. Tetapi ‘permissiveness’ sudah menembusi keyakinan kita,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Program Amanat Perdana Menteri: Membangun Malaysia Madani, di sini, hari ini.
Anwar berkata, berikutan sikap sedemikian yang sudah menembusi masyarakat, ia membawa kepada fahaman kabilah, yang menyebabkan perilaku rasuah dan penyelewengan.
Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, semua pemimpin sama ada di Kerajaan Persekutuan, negeri mahupun daerah, serta penjawat awam daripada ketua hingga orang bawahan, perlu memanfaatkan pengalaman dan belajar daripada kelemahan lalu dalam membincangkan soal pasca pertumbuhan, pascanormal atau pasca COVID serta mengemukakan tindakan yang bersesuaian dengan tuntutan baharu.
Pada masa sama, Anwar mengingatkan semua pihak terhadap kecenderungan menilai pertumbuhan negara berdasarkan kepada angka, tanpa melihat kepada sebab dan akibatnya.
Beliau berkata, apabila melihat kepada situasi dalam negara, kadar pengangguran walaupun umumnya sedikit menurun, ia membabitkan masalah belia dan wanita.
“Saya sebut hal sedemikian ini untuk menunjukkan bahawa kaedah dan cara lama kita tidak dapat menyelesaikan masalah negara. Untuk terpukau dengan angka juga tidak mungkin dapat membantu.
“Maka, kita harus menamatkan ukuran kemajuan dengan pertumbuhan ekonomi sahaja. Ini kerana keghairahan menyebut angka pertumbuhan, pelaburan asing atau angka, tanpa menekankan ia membabitkan belia dan wanita, kesan akibat kepada manusia seluruhnya, itu bagi saya tidak akan membantu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, apabila menyebut mengenai kadar inflasi empat peratus, tetapi inflasi makanan pada kadar tujuh peratus, namun pengangguran belia dan wanita jauh lebih tinggi.
Meminjam kata-kata Albert Einstein, beliau berkata, apabila bercakap mengenai kadar kemiskinan tegar yang menurun, seseorang yang dalam kategori miskin tegar, tidak akan terpukau dengan angka, sebaliknya bergelut dengan permasalahan hidup.
Begitu juga, katanya, jika seseorang itu adalah anak muda yang menganggur, dia tidak akan terpukau dengan angka kadar pengangguran menurun kerana ia tidak memberi jaminan masa depan kepadanya.
“Begitu juga bicara soal inflasi terkawal, bagi orang yang hidup di tahap lebih sukar dan rendah, angka itu tidak membantu mereka.
“Sebab itu, saya sebut mengenai ekonomi manusiawi kerana ekonomi manusiawi akan menolak prinsip ‘unbridled capitalism’, yang sedikit sebanyak diamalkan kita dahulu.
“Golongan `mahakaya’ yang terpilih itu menguasai hampir semua bidang di negara kita, seolah-olah kita dan seluruh jentera kita tidak ada keupayaan mengenal pasti syarikat baharu atau kelompok baharu untuk diperluaskan peluang kepada mereka,” katanya.
Sumber-BH