
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM1,000 sempena Aidilfitri tahun ini kepada semua penjawat awam yang berada di bawah pentadbiran di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata BKK itu tidak termasuk kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT), badan berkanun atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Katanya, pemberian BKK itu akan membabitkan 3,796 orang penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM3.796 juta.
“Pemberian BKK ini adalah hasil daripada lebihan pendapatan yang dicapai dalam bajet tahun lalu mencecah RM523 juta berbanding sasaran RM432 juta.
“Ini juga sebagai usaha meringankan beban kewangan kepada anggota pentabiran kerajaan negeri dalam membuat persiapan menyambut hari raya selain penghargaan kepada mereka sempena Aidilfitri tahun ini.
“Kita yakin pemberian BKK ini juga dapat merancakkan ekonomi Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco diWisma Negeri di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, pembayaran akan dilakukan pada 14 April ini.
“Kerajaan negeri mengharapkan pemberian BKK ini akan meningkatkan lagi motivasi penjawat awam negeri untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang,” katanya.
Sumber-BH