
Kecemerlangan akademik semata-mata tidak seharusnya menjadi sandaran kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Sebaliknya pendapatan keluarga perlu diambil kira selari dengan matlamat asal penubuhannya.
Bagaimanapun perkembangan terkini menyaksikan ramai pihak mendakwa SBP dan MRSM seolah-olah menjadi ‘sekolah anak orang kaya’ selain dijadikan testimoni prestij seorang pelajar.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata semua pihak perlu kembali melihat tujuan asal penubuhan SBP.
Katanya, ketika ia sudah tersasar daripada matlamat asal penubuhannya.
“Dulu tujuan asal penubuhan sekolah jenis ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar Bumiputera khususnya di luar bandar dibantu mendapatkan pendidikan terbaik serta bersaing dengan rakan yang setara pencapaiannya.
“Selain mendapat pendidikan, mereka juga dijaga dengan keperluan makan minum dan bantuan lain yang lebih sempurna supaya mampu fokus kepada pelajaran tanpa gangguan faktor sosio ekonomi keluarga,” katanya.
Fouzi berkata sejak dulu lagi, NUTP sudah meminta kerajaan mengkaji dan mengembalikan semula tujuan asal penubuhan SBP bagi memastikan kemasukan pelajar ke sekolah sebegitu tidak hanya berpandukan faktor pencapaian akademik semata-mata tetapi juga pendapatan keluarga.
Katanya, dalam kebanyakan kes meskipun peluang itu diberikan kepada murid yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, namun yuran persekolahan di SBP dan MRSM lebih tinggi berbanding sekolah biasa.
Hal ini tegasnya menjadikan ramai keluarga berpendapatan rendah tidak mampu menerima tawaran berkenaan.
“Namun hal ini tentunya tidak menjadi masalah kepada golongan berkemampuan.
“Masalah yuran tambahan yang dikenakan ini juga perlu dilihat sebagai satu kekangan yang mampu menghalang kemasukan pelajar kurang berkemampuan ini,” katanya.
Tegas Fouzi, SBP atau MRSM diakui mempunyai kelebihan dan kebaikan yang banyak memberi manfaat kepada murid-murid antaranya jadual belajar lebih teratur.
Hal ini katanya adalah antara keunikan yang ada di SBP jika dibandingkan dengan kehidupan murid di sekolah harian biasa yang berpandukan jadual dan keinginan sendiri. Malah ada kala murid sukar untuk fokus belajar kerana faktor persekitaran tidak kondusif, gangguan adik beradik, perlu membantu ibu bapa dan sebagainya.
Bagaimanapun tegas Fouzi, SBP atau MRSM hanyalah satu pilihan untuk mendapat pendidikan. Dalam konteks yang lebih besar katanya, sistem pendidikan negara ini setara dengan sukatan pelajaran serupa sama ada murid itu menuntut di SBP, MRSM atau sekolah harian biasa.
“Ia sebenarnya terpulang kepada pelajar itu sendiri hendak serius belajar atau tidak.
“Ibu bapa harus memberi sokongan kepada anak mereka untuk berjaya dalam pelajaran. Malah tidak harus memandang rendah murid di sekolah harian biasa kerana mereka juga mampu cemerlang dalam pengajian.
“Malah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekolah harian biasa lebih baik berbanding SBP atau MRSM,” katanya.
Justeru katanya, ibu bapa tidak perlu mendesak anak mereka ke SBP atau MRSM jika anak-anak tidak mahu. Hal ini kerana faktor psikologi anak juga amat perlu untuk diambil kira sebelum menempatkan mereka di sekolah seperti itu.
Sementara itu bagi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG ) Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Jempol, Mohamad Azrin Amran, berkata umumnya ibu bapa lebih berminat menempatkan anak di SBP kerana murid yang menuntut di sekolah begitu lebih mendapat perhatian guru.
Hal ini kerana jumlah murid dalam sesebuah kelas lebih kecil berbanding sekolah harian. Justeru guru lebih fokus untuk mengenal pasti kemampuan dan menggilap prestasi murid.
“Kemudahan di sekolah begitu juga lebih baik dengan kehadiran guru terlatih dalam pelbagai teknik pengajaran.
“Begitu juga dalam aspek pembentukan sahsiah dan kepimpinan pelajar. Hal ini tentu saja berbeza dengan kemudahan di sekolah harian,” katanya.
Mohamad Azrin berkata, justeru peluang untuk memasuki SBP sepatutnya kembali ke matlamat asalnya. Malah murid yang kurang berkemampuan dari segi kewangan tetapi cemerlang dalam pelajaran seharusnya juga diberi peluang untuk mendapat pendidikan di sekolah begitu.
Bagi Norfarina Kamarudin, sebagai ibu beliau melihat satu kerugian jika menolak tawaran untuk belajar di SBP atau MRSM.
Hal ini terkait dengan faktor kelebihan dari segi pembelajaran antaranya jadual pembelajaran teratur, disiplin ketat dan agenda pembentukan sahsiah murid yang ditawarkan di sekolah begitu.
“Kalau murid belajar di rumah, dia akan ada banyak masa lapang. Banyak masanya diisi dengan melayari internet.
“Hal ini tentu berbeza kalau menuntut di sekolah berasrama. Mereka ada jadual pembelajaran teratur dan lebih membantu untuk fokus dalam pembelajaran,” katanya.
Untuk rekod sejarah penubuhan SBP bermula pada tahun 1890, ketika RO Winstead menjadi Timbalan dan kemudiannya menjadi Pengarah Pelajaran Tanah Melayu. Pada awalnya ia ditubuhkan bagi memberi pendidikan orang Melayu dalam kalangan bangsawan menerusi aliran Inggeris.
Namun dasar itu berubah selari dengan perkembangan semasa yang menyaksikan penubuhannya bagi memberi peluang pelajar luar bandar dan keluarga kurang berkemampuan mendapat pendidikan.-BH