
Aminuddin Harun-Sinar Harian
SEREMBAN – Semua pimpinan parti Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan termasuk Barisan Nasional (BN) diharap tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengelirukan berhubung soal pembahagian kerusi di negeri itu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, apa saja keputusan soal itu akan diputuskan oleh pimpinan pusat.
“Kepada semua, saya minta supaya tidak lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan supaya keputusan itu biarlah diputuskan oleh pimpinan pusat.
“Kita di peringkat negeri pun dah berbincang dan bersetuju mengenainya,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kasih Ramadan dengan kerjasama agensi kerajaan dan swasta di Perpustakaan Awam Negeri Sembilan pada Selasa.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat( PKR) itu berkata, secara jelasnya kepimpinan tertinggi PH dan BN telah bersetuju pembahagian kerusi di enam negeri mengikut status quo.
Jelasnya, ia bermaksud PH dan BN akan kekal bertanding di kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15, begitu juga dengan jumlah kerusi bagi kedua-duanya.
“Perkataan status quo itu telah dimuktamadkan dalam perbincangan Majlis Presiden. Cumanya di peringkat negeri kita diminta supaya berbincang dan berborak, ia tak lebih dari itu,” katanya.- Sinar Harian