
Foto Hiasan
Pemasangan dan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam kenderaan amat penting bagi mengurangkan kecederaan atau jumlah kematian dalam kalangan kanak-kanak akibat kemalangan jalan raya.
Mengikut statistik, sebanyak 1,286 kes kematian kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah dicatatkan dari 2011 sehingga 2020 akibat kemalangan jalan raya.
Sebelum ini, undang-undang pemasangan CRS diwartakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Akta Pengangkutan Jalan 1978 – Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan) 2019.
Pada 1 Januari 2020, undang-undang berkenaan pemakaian kerusi keselamatan kanak-kanak dilaksanakan ke atas kenderaan persendirian.
Pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Kulanthayan KC Mani, berkata setiap pengguna atau penumpang terutama ibu bapa perlu sedar pentingnya penggunaan alat penahan yang lebih dikenali sebagai tali pinggang keledar bagi dewasa dan CRS untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.
Beliau berkata, setiap pengguna perlu membeli CRS yang mematuhi piawaian atau garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Peraturan R44 dan R129 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, CRS yang tidak menepati piawaian tidak akan memberi perlindungan yang sepatutnya.
“Pengguna juga digalakkan memasang kerusi itu dengan betul menggunakan manual kereta.
“Setiap kereta mempunyai manual bagi membantu pengguna untuk tahu di mana kedudukan yang sesuai untuk pasang CRS,” katanya.
Kulanthayan berkata, kerusi CRS boleh di dapati di mana-mana kedai yang menjual keperluan kanak-kanak.
Penjual di semua kedai berkenaan turut menjalani latihan pemasangan CRS bagi membantu pengguna.
Dalam pada itu, beliau menegaskan supaya setiap pemandu dan penumpang harus menggunakan alat penahan dalam kereta.
Katanya, jika CRS sudah dipasang namun penumpang lain tidak memakai tali pinggang keledar, ia juga akan beri kesan kepada semua penumpang dalam kenderaan itu apabila berlaku kemalangan.
“Apabila berlaku kemalangan, individu yang tidak memakai tali pinggang keledar akan bergerak dan mungkin berlakunya pelanggaran antara penumpang lain dan turut menyebabkan kecederaan.
“Justeru, kesedaran dan tindakan proaktif perlu ada dalam diri setiap pengguna untuk memakai tali pinggang keledar serta mendapatkan produk CRS di kedai untuk mengelakkan risiko maut kemalangan,” katanya.
Sumber -BH