
Aminuddin Harun ( kanan )
SEREMBAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan pada hujung Jun ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat berkata, keputusan itu dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan bersama Menteri Besar serta Ketua Menteri bagi Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu.
“Kita sudah membuat keputusan pembubaran DUN itu nanti tidak sama hari dan tarikh tetapi dalam bulan sama dengan negeri yang lain.
“Ada (negeri) yang mungkin (bubar) awal iaitu hujung bulan ini, awal bulan Jun dan ada juga bubar hujung bulan Jun dan awal Julai. Kita akan ambil hujung bulan Jun, insya-Allah, mungkin 1 Julai itu hari terakhir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan nama baharu bagi Jalan Sikamat kepada Jalan Dato’ Syeikh Mohd Murtadza di sini, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) memenangi 20 daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala baki dimenangi BN.
Sumber-BH