
1. Kerajaan Negeri telah menemui satu aktiviti disyaki perlombongan haram nadir bumi di Kampung Sikai, Seri Menanti, Daerah Kuala Pilah pada 16 Mei 2023 melalui aduan yang diterima oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah. Siasatan bersepadu oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan dan Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka dengan bantuan Polis Di Raja Malaysia telah dijalankan dan hasil siasatan mendapati wujud aktiviti perlombongan dengan menggunakan peralatan yang menjurus kepada perlombongan nadir bumi di atas dua lot tanahmilik.
2. Berdasarkan pemerhatian secara kasar, kaedah perlombongan yang dijalankan menggunakan proses ‘larut resap in-situ’ (in-situ leaching); iaitu kaedah perlombongan yang tidak memerlukan pembukaan kawasan yang besar untuk kerja-kerja pengorekan dan pengalihan tanah tetapi banyak menggunakan proses kimia. Melalui proses tersebut, cecair bahan kimia iaitu amonium sulfat digunakan untuk melarut resap dan mengekstrak nadir bumi dari dalam tanah melalui lubang yang telah digerudi dan disalurkan ke kolam tadahan. Beberapa sampel telah diambil oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Sembilan dan Melaka untuk dibuat analisis makmal.
3. Tindakan rampasan ke atas guni-guni yang mengandungi bahan disyaki berkaitan dengan aktiviti perlombongan nadir bumi serta jentera-jentera yang digunakan telah dibuat. Kawasan terlibat juga telah disita untuk menghalang kerja-kerja perlombongan serta mengelakkan pencerobohan dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan bersama-sama agensi terlibat. Kerajaan Negeri mengesyaki bahawa kegiatan perlombongan haram ini dibuat secara skala besar dan satu tindakan penguatkuasaan bersepadu akan diambil.
4. Kerajaan Negeri memandang serius penemuan ini dan akan memastikan pihak terbabit untuk dikenakan tindakan yang setimpal berdasarkan undang-undang yang sedia ada. Selain itu, Kerajaan Negeri menggesa semua pihak untuk menyalurkan maklumat dan aduan kepada Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan sekiranya terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakanberkaitan perlombongan haram bagi mengurangkan ketirisan hasil negeri.
𝗬𝗔𝗕 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗦𝗲𝗿𝗶 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗺𝗶𝗻𝘂𝗱𝗱𝗶𝗻 𝗯𝗶𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗛𝗮𝗿𝘂𝗻 Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus 24 Mei 2023
Facebook YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

